Sunday, December 10, 2023

"Mana Datang Nama Hulu Langat?"



Hulu Langat. Seronok sebenarnya Hulu Langat ni, tempat-tempat berkelah banyak dekat sini. Memang sesuai untuk tenangkan fikiran dari kesibukan ibu kota.

Besar Hulu Langat ni sebenarnya, meliputi kawasan Cheras, Ampang, Semenyih, Kajang, Beranang, Bangi, Ulu Semenyih dan Ulu Langat sendiri.

Tiba-tiba datang persoalan, mana datang nama Hulu Langat ni?

Asal usul dia datang dari Sungai Langat tu sendiri. Yang Hulu Langat ni di bahagian hulu Sungai Langat. Kuala Langat pula di kuala Sungai Langat.

Tapi Langat ni apa benda?

Menurut cerita orang dulu-dulu, Langat ni asalnya dari serangga bernama Langat yang serang daerah ni sebelum dibuka petempatan kampung dan pekan.

Selain tu, ada juga teori yang kata nama Langat ni asalnya dari ikan Selangat, ikan ni boleh hidup dalam air masin dan tawar. Banyak hidup di dalam Sungai Langat.

Ni satu fakta yang saya yakin ramai tak tahu. Hulu Langat tu dahulunya berada dalam Negeri Sembilan.

Hulu Langat ni antara sebahagian daripada wilayah Sungai Ujong. Jadi, tak hairanlah kalau Hulu Langat ni ramai orang Minangkabau.

Kemudian, Negeri Sembilan dan Selangor buat satu perjanjian pertukaran dengan menukarkan Lukut yang asalnya dalam Selangor dengan Hulu Langat.

Hulu Langat ni jugak ada Orang Asli suku Sakai yang dah lama menetap di lembah Sungai Langat.

Masyarakat tempatan masa tu dikenali sebagai "Besisi" dan terbahagi kepada dua kelompok, "Orang Bukit" yang tinggal di kaki bukit dan "Orang Tanjong" yang tinggal di tepi sungai.

Ketika era Darurat, Hulu Langat ni jadi kawasan yang paling teruk terjejas dek kerana komunis. Kajang, Bangi, Balakong dan Semenyih.

Inilah sebabnya di Jalan Hulu Langat dari Batu 9 hingga Batu 18, kita nampak lambakan "Kampung Baru."

Kampung Baru ni ialah dasar British dalam menangani gerakan Komunis dengan membuat sebuah petempatan di kawasan putih, jauh daripada komunis.

Menjelang 1980-an, Kajang berkembang pesat memandangkan ramai penduduk berpindah ke sana kerana kos perumahan yang mahal dan kekurangan kawasan petempatan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Permintaan perumahan meningkat sekitar 1990-an dan banyak pemaju hartanah datang ke Kajang membeli ladang getah lama dan mengubahnya menjadi kawasan perumahan.

Kini, daerah Hulu Langat ada lebih 1 juta penduduk. Daerah Hulu Langat menempatkan pelbagai penempatan bandar yang membangun yang membawa nilai ekonomi serta pertumbuhan penduduk ke daerah ini.

Oleh: 
          The Patriots