Friday, January 31, 2020

KEMENYAN

PEMIKIRAN SAINTIFIK NENEK MOYANG YANG DISALAH ERTIKAN

Seingat saya, ilmu tentang penggunaan kemenyan di Alam Melayu ini benar-benar saya perolehi dari lapangan. Saya masih belum jumpa lagi sumber rujukan bertulis.

1) Semasa saya melawat tukang membuat keris di selatan Thailand, beliau memberitahu saya bahawa antara sebab keris diasapkan dengan kemenyan selepas dicuci dengan limau ialah supaya air limau yang melekat pada bilah keris itu cepat kering selain untuk mewangikan keris.

Ini mengelakkan keris berkarat. Di samping itu, kemenyan yang mempunyai getah boleh membalut racun-racun yang disapu pada keris. Makanya, kemenyan dijadikan bahan anti karat.

2) Semasa saya menjejak tinggalan sejarah dan budaya di Kerinci, seorang tua memberitahu saya bahawa pada zaman dahulu di Kerinci, dinding masjid dan rumah akan kerap diasap dengan kemenyan untuk mencegah dari anai-anai. Kemudiannya asap kemenyan diletakkan di ruangan untuk menghalau nyamuk dan mewangikan ruangan. Makanya, kemenyan dijadikan bahan anti serangga.

3) Seorang pengamal perubatan tradisional pula pernah memberitahu saya bahawa tabib zaman dahulu akan membakar kemenyan ketika menjalankan rawatan supaya fikiran pesakit menjadi tenang memandangkan kemenyan adalah antara bahan pewangi pada ketika itu. Makanya, kemenyan digunakan sebagai aroma terapi.

Namun apabila sebahagian manusia menyalah gunakan asap kemenyan bagi tujuan khurafat dan tahyul, maka penggunaan kemenyan dalam masyarakat Melayu disalah ertikan. Dengan itu, kemenyan adalah antara mangsa 'pukul rata' atau generalisasi oleh masyarakat moden.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Islam Nusantara 

No comments:

Post a Comment